SELAMAT MEMBACA
PERANCANGAN BAHASA DAN PEMBINAAN BAHASA MELAYU
1. PENGENALAN
Perancangan
bahasa merupakan usaha-usaha yang
tersusun untuk membina bahasa, menyempurnakan bentuk dan susunan bahasa itu
agar dapat berfungsi sebagai bahasa moden, alat penyampai fikiran dan perasaan
sejajar dengan peranannya sebagai bahasa utama sesuatu komuniti bagi sesebuah
negara yang mempunyai lebih daripada satu bahasa.Maka, perancangan bahasa
bermakna penentuan bahasa yang hendak dijadikan bahasa nasionalnya atau bahasa rasminya
dan diikuti oleh pembinaan bahasa itu. Perancangan bahasa pada keseluruhannya
terdiri daripada dua tahap utama iaitu penentuan dan pembinaan. Bukan semua
negara di dunia ini memerlukan kedua-dua tahap
tersebut tetapi sebahagian besar memerlukan tahap pembinaan disebabkan
keadaaan sosiolinguistiknya sendiri.
Bahasa
merupakan alat komunikasi, alat berfikir dan alat menghasilkan buah fikiran.
Justeru, bahasa tidak boleh dibiarkan
berkembang dengan sendirinya atau tanpa perancangan kerana ini dapat menghalang
sistem berkomunikasi secara lancar antara pemakai-pemakai bahasa dan
menyukarkan proses konseptualisasi dan juga pengwujudan konsep-konsep hasil
pemikiran. Konseptualisasi tidak akan berlaku tanpa penguasaan bahasa yang
baik atau perancangan bahasa yang teratur.
Perancangan bahasa bukanlah merupakan satu perkara yang baru tetapi sudah lama
dijalankan di berbagai-bagai negara terutamanya dalam kalangan negara-negara
membangun setelah mencapai kemerdekaan daripada penjajah. Walaupun pada
permulaannya, negara-negara ini menganggap bahasa kebangsaan merupakan bahasa
penyatuan iaitu sebagai lambang penyatuan negara. Selepas itu, barulah timbul
satu usaha untuk menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa akademik mahupun bahasa
rasminya. Contohnya ialah negara Indonesia dan Malaysia sendiri.
2. KONSEP
Konsep perancangan bahasa
timbul pada akhir 1960an dan menjadi istilah tersendiri selepas satu
persidangan anatarabangsa yang diadakan di Universiti Hawai. Persidangan
tersebut telah berjaya menghasilkan sebuah buku yang bertajuk Can Language be
Planned yang diedit oleh Joan Rubin dan Bjorn Jerudd dan diterbitkan pada tahun
1969. Istilah perancangan bahasa dikaitkan dengan konsep “bimbingan” yakin
dalam melaksanakan perancangan bahasa aspek bimbingan merupakan aspek yang pasti wujud.
Konsep perancangan bahasa itu dengan sendirinya bertentangan dengan pendapat
yang ditimbulkan oleh aliran linguistik tradisional dalam tahun 50an yang
mengatakan bahawa bahasa harus dibiarkan tumbuh dengan sendirinya tanpa
sebarang usaha untuk mengarahkannya kepada matlamat tertentu. Pendapat yang
dimasyurkan oleh cogan kata Leave Your Language Alone (judul buku mengenai hal
yang sama yang ditulis oleh Rober Hall Jr.), dan One word is as good as another
sudah tidak terpakai lagi sekarang ini.
Konsep perancangan bahasa
(language planning/language engineering) muncul selepas perang dunia kedua
iaitu apabila sesebuah negara yang pernah dijajah oleh negara besar mencapai
kemerdekaan. Kemerdekaan itu
memperlihatkan semangat nasionalisme iaitu bersatu padu dan berkeinginan untuk
mempuyai identiti sendiri sebagai lambang kedaulatan sesebuah negara. Orang
yang pertama menggunakan istilah language “language
planning”ialah Einar Haugen (1959) dalam penulisannya “Planning for a Standard Language in Modern Norway” yang diterbitkan
dalam Journal of Anthropological
Linguistik, 1.3. 1959.Haugen telah mendifinisikan perancangan bahasa
sebagai merangkumi usaha-usaha yang dijalankan oleh pertubuhan atau
jawatankuasa tertentu. Mencakupi segala usaha yang dijalankan oleh pertubuhan
tersebut untuk penyuburan bahasa dan melibatkan usaha-usaha pembinaan,
pengubahsuaian dan pembakuan yang dilakukan kepada sesuatu bahasa yang
berkenaan.
Selain itu, terdapat dua lagi
istilah yang digunakan oleh para sarjana dalam perancangan bahasa iaitu istilah
“glossopolitics” dan “language engineering”. Istilah glossopolitics” digunakan oleh Robert A.
Hall Jr. bagi merujuk kegiatan atau proses mengaplikasi ilmu linguistik kepada
dasar yang diambil oleh kerajaan dalam menentukan cara-cara yang paling baik
untuk mencapai keadaan dwibahasa di tempat-tempat yang menghadapi pertembungan
budaya. G.P.
Springer (1956) menggunakan istilah penjuruteraan bahasa (language engineering)
dan merujuk kepada usaha pengabjadan dan pembakuan bahasa yang belum baku di
Soviet. Sutan Takdir Alisjahbana (1961) juga telah menggunakan istilah
‘penjuruteraan bahasa’ untuk merujuk kepada aktiviti yang dilakukan secara
sedar bagi mengembangkan bahasa di dalam konteks sosial, budaya, dan perubahan
teknologi yang lebih luas. Juga, ada sarjana lain yang pernah menggunakan
istilah penjuruteraan bahasa untuk merujuk kepada aktiviti yang terancang
melalui sekolah, gereja, radio, akhbar dan juga perancangan rasmi untuk
mempengaruhi penggunaan bahasa.
Seterusnya, R. Noss (1967) menggunakan istilah pembangunan
bahasa (language development) dan perancangan bahasa (language planning) di
dalam membincangkan keadaan penggunaan bahasa di dalam pendidikan di Asia
Tenggara. Istilah perancangan bahasa telah juga digunakan oleh J. Rubin dan
B.H. Jernudd (1971) untuk merujuk kepada usaha satu-satu pertubuhan yang
bertujuan untuk menjalankan perubahan kepada kod-kod atau pertuturan bahasa
atau kepada kedua-duanya sekali. J.A. Fishman (1968) juga telah menggunakan
istilah perancangan dan pembangunan bahasa untuk merujuk kepada langkah-langkah
yang dirancang untuk mencari penyelesaian kepada masalah kebahasaan yang
lazimnya dilaksanakan pada peringkat kebangsaan.
3. MODEL PERANCANGAN BAHASA
Salah
satu model perancangan bahasa ialah Model
perancangan bahasa Haugen. Haugen
mengemukakan empat peringkat di dalam perancangan bahasa, iaitu: pemilihan, pengekodan,
pelaksanaan dan peluasan. Peringkat pemilihan ialah satu peringkat yang
melibatkan pemilihan satu bahasa atau beberapa buah bahasa atau norma yang akan
dibina untuk tujuan tertentu, selalunya ia adalah untuk tujuan menjadikan
bahasa tersebut mencapai taraf sebagai bahasa rasmi dan menjalankan tugas
sebagai bahasa kebangsaan.
Bagi peringkat pengekodan pula melibatkan hal-hal dan usaha-usaha di dalam pembakuan bahasa. unsur-unsur seperti kata, istilah, tatabahasa dan ungkapan-ungkapan tertentu adalah kod-kod bahasa. Usaha pembakuan ialah pengenalpastian kod-kod yang banyak ini dan menentukan penggunaan satu daripada banyak kelainan kod tersebut, atau mewujudkan satu kod baru daripada beberapa dialek yang ada.Peringkat pelaksanaan pula melibatkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh sesuatu agensi, institusi atau individu tertentu di dalam penggunaan norma yang dipilih dan dikodkan tersebut.Peringkat yang terakhir iaitu peringkat peluasan berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan bahasa tersebut, dari segi bentuk dan fungsinya.
Selain daripada Haugen, ada beberapa orang sarjana lain yang mengkaji perancangan bahasa dan juga telah mengemukakan model perancangan bahasa. Secara umumnya, model-model ini agak serupa dengan sedikit perbezaan di antara masing-masing itu. Sarjana-sarjana ini sebenarnya telah membuat beberapa penambahan dan penyesuaian kepada model Haugen mengikut tafsiran mereka. Misalnya J.V. Neustupnya (1974) telah menambah penyebaran dan penyuburan kepada perancangan Haugen itu. Penyuburan ini melibatkan usaha membuat ‘kesesuaian’, ‘ketetapan’ dan membina ‘gaya yang diterima’ di antara beberapa kelainan yang wujud di dalam bahasa itu. F.X. Karam (1974) pula telah menambah satu peringkat lain, iaitu penilaian ke dalam proses perancangan bahasa ini. Proses penilaian ini dianggap sama penting dengan penilaian di dalam sebarang perancangan lain, untuk memperbetul unsur-unsur yang tidak sesuai. Seterusnya perancangan itu hendaklah mempunyai sumber kewangan yang secukupnya.
Bagi peringkat pengekodan pula melibatkan hal-hal dan usaha-usaha di dalam pembakuan bahasa. unsur-unsur seperti kata, istilah, tatabahasa dan ungkapan-ungkapan tertentu adalah kod-kod bahasa. Usaha pembakuan ialah pengenalpastian kod-kod yang banyak ini dan menentukan penggunaan satu daripada banyak kelainan kod tersebut, atau mewujudkan satu kod baru daripada beberapa dialek yang ada.Peringkat pelaksanaan pula melibatkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh sesuatu agensi, institusi atau individu tertentu di dalam penggunaan norma yang dipilih dan dikodkan tersebut.Peringkat yang terakhir iaitu peringkat peluasan berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan bahasa tersebut, dari segi bentuk dan fungsinya.
Selain daripada Haugen, ada beberapa orang sarjana lain yang mengkaji perancangan bahasa dan juga telah mengemukakan model perancangan bahasa. Secara umumnya, model-model ini agak serupa dengan sedikit perbezaan di antara masing-masing itu. Sarjana-sarjana ini sebenarnya telah membuat beberapa penambahan dan penyesuaian kepada model Haugen mengikut tafsiran mereka. Misalnya J.V. Neustupnya (1974) telah menambah penyebaran dan penyuburan kepada perancangan Haugen itu. Penyuburan ini melibatkan usaha membuat ‘kesesuaian’, ‘ketetapan’ dan membina ‘gaya yang diterima’ di antara beberapa kelainan yang wujud di dalam bahasa itu. F.X. Karam (1974) pula telah menambah satu peringkat lain, iaitu penilaian ke dalam proses perancangan bahasa ini. Proses penilaian ini dianggap sama penting dengan penilaian di dalam sebarang perancangan lain, untuk memperbetul unsur-unsur yang tidak sesuai. Seterusnya perancangan itu hendaklah mempunyai sumber kewangan yang secukupnya.
C.A. Ferguson (1968) pula telah mengemukakan tiga komponen di dalam usaha perancangan bahasa, iaitu pengabjadan, pembakuan dan pemodenan. Pengabjadan ialah usaha supaya sesuatu bahasa itu mempunyai abjad atau sistem ejaan yang sempurna.
Pembakuan pula ialah proses menjadikan satu dialek atau bahasa sebagai bahasa yang baku berbanding dengan dialek-dialek lain dalam usaha meningkatkan penggunaan bahasa itu dalam bidang ilmiah dan pentadbiran, demi meningkatkan komunikasi.
Pemodenan ialah usaha-usaha pengembangan kosa kata dan pembinaan bentuk-bentuk wacana tertentu, biasanya ilmiah. Pembinaan kosa kata ini melibatkan penciptaan istilah dan ungkapan-ungkapan tertentu untuk menampung keperluan ilmiah atau pentadbiran bahasa itu.
Bagi
H. Kloss (1969) melihat perancangan bahasa sebagai mempunyai dimensi, iaitu
perancangan taraf dan perancangan bahan. Perancangan taraf ialah usaha
menentukan taraf sesuatu bahasa atau dialek berbanding dengan bahasa atau
dialek lain. Biasanya memilih sesuatu dialek atau bahasa menjadi bahasa
kebangsaan. Perancangan bahan melibatkan pembentukan istilah baru, pembakuan
ejaan dan pembakuan tatabahasa, iaitu usaha-usaha yang menggunakan bahan
sebagai yang diolah dan dibentuk.Kloss juga mengemukakan satu unsur lagi, iaitu
kewangan atau pembiayaan, yangmelibatkan aspek ekonomi dan pengurusan di dalam
perancangan bahasa. Sama seperti perancangan lain, unsur pembiayaan dan
pengurusan adalah penting.
4. PERANCANGAN BAHASA DI NEGARA-NEGARA TANPA TOLOK, EKATOLOK DAN PELBAGAI TOLOK
4. PERANCANGAN BAHASA DI NEGARA-NEGARA TANPA TOLOK, EKATOLOK DAN PELBAGAI TOLOK
Perancangan
bahasa bagi negara-negara tanpa tolok iaitu negara-negara yang tidak mempunyai
model atau tolok dari negaranya sendiri adalah berdasarkan tipologi penentuan
Dasar Bahasa jenis A oleh Fishman.. Penentuan Dasar Bahasa jenis A terhasil
oleh persetujuan sekurang-kurangnya dikalangan pemimpin, bahawa tidak ada
tradisi sosiobudaya yang meliputi seluruh negara dan rakyat juga tidak ada tradisi
politik yang menegakkan negara itu sebagai negara yang bebas merdeka dan yang
didefinisi oleh garis sempadan yang membentengi kedaulatannya. Oleh itu,
penentuan dasar bahasa bagi negara jenis
ini dibuat oleh pihak yang berkuasa yang berpendapat bahawa negara mereka belum
mempunyai tradisi Agung yang dapat dirujuk dalam usaha mempersatukannya.
Bagi
negara-negara yang sedang membangun yang pernah dijajah ,pemilihan bahasa dalam
perhubungan luas itu juga bererti pemilihan bahasa penjajahnya. Contoh-contoh
negara seperti ini ialah Cameroons, Ghana, Zambia dan Tanzania yang terletak di
Benua Afrika. Perancangan bahasa bagi negara ini agak terbatas kerana bahasa
perhubungan luas yang dipilihnya itu sudah terbina dan diterima oleh
masyarakat. Peristilahan tidak merupakan masalah begitu juga dengan kodifikasi
bahasa. Bagaimanapun terdapat dua kegiatan perancangan bahasa yang diperlukan
iaitu kajian mengenai bahasa tempatan secara terbatas dan pengajaran bahasa
tempatan secara terbatas kepada generasi tua. Kegiatan pertama tadi diadakan
dengan tujuan memperbaiki kaedah pengajaran bahasa perhubungan luas kepada
rakyat. Kegiatan kedua pula bertujuan untuk membasmi buta huruf dalam kalangan
generasi tua melalui bahasa mereka sendiri.
Seterusnya
,penentuan dasar bahasa bagi negara ekatolok pula iaitu negara-negara yang
mempunyai satu bahasa yang boleh diambil sebagai modelnya, Fishaman membuat
tipologi Penentuan Jenis B. Penentuan Jenis B ini merupakan pemilihan satu
bahasa bumiputera atau yang dibumiputerakan (misalnya bahasa Inggeris di
Amerika Syarikat) untuk dijadikan bahasa kebangsaan. Penentuannya diasaskan
pada kesatuan sosiobudaya yang sudah lama tertanam dan juga pada sempadan
politik negara yang berkenaan. Terdapat persetujuan am antara golongan yang berkuasa
dan juga rakyat jelata bahawa ada satu Tradisi Agung yang melatari kehidupan
mereka yang meliputi hukum adat, kepercayaan, adar resam, kesusasteraan,
identiti dan sebagainya. Contoh negara-negara Jenis B ialah Thailand, Malaysia,
Indonesia dan Jepun.
Perancangan
bahasa di negara ekatolok ini meliputi permodenan bahasa kebangsaan dan
pengajaran bahasa perhubungan luas. Permodenan bahasa kebangsaan bermakna
usaha-usaha yang dijalankan untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa
yang teguh dalam bidang pendidikan, pemerintahan dan sebagainya. Pengajaran
bahasa perhubungan luas diperlukan dalam mempersiapkan rakyat untuk ikut serta
dalam perkembangan ilmu pengetahuan dan juga hubungan antarabangasa.
Bagi
negara-negara pelbagai tolok iaitu negara yang mempunyai lebih daripada satu
Tradisi Agung yang berasingan satu sama lain ditentukan oleh Penentuan Jenis C.
Tiap-tiap Tradisi Agung itu memperlihatkan keteguhan dari segi jumlah anggota masyarakatnya, dan
dari segi ekonomi dan ideologi cukup kuat untuk menyatukan masyarakat
negaranya. Bagi negara-negara ini, nasionalisme sudah ada dan apa yang
diperlukan ialah bahasa yang merupakan bahasa kerja untuk tujuan itu dipih
bahasa perhubungan luas, yang lebih diutamakan dalam bahasa tulisan dan dalam
keadaan normal. Contohnya negara seperti India, Pakistan, Sri Lanka dan
Singapura.
5. PERANCANGAN DAN PEMBINAAN BAHASA DI
MALAYSIA
Perancangan bahasa di Malaysia
boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu perancangan taraf bahasa (status
planning) dan perancangan korpus bahasa atau pembinaan bahasa (language corpus
planning)
5.1 Perancangan Taraf Bahasa
Perancangan taraf ialah
memilih satu daripada berbagai-bagai bahasa untuk di jadikan bahasa rasmi di sesebuah negara.. Dalam konteks Malaysia, bahasa
yang dipilih ialah Bahasa Melayu dan ini disahkan di dalam artikel 152
Pelembangan Persekutuan Perancangan bahasa daripada segi taraf melibatkan keupayaan
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa
ilmu. Perancangan bahasa daripada segi sistemnya pula melibatkan pembakuan
ejaan, sebutan, kosa kata, tatabahasa dan laras bahasa. Penetapan bahasa Melayu
sebagai asas perancangan bahasa di Malaysia didasarkan pada penerimaan
kenyataan bahawa bahasa Melayu merupakan tonggak tamadun di alam Melayu sejak
zaman Sriwijaya dan kemudian pada zaman kesultanan Melayu di pelbagai pusat
tamadun Melayu di rantau Asia Tenggara.
Perancangan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu diasaskan pada Dasar
Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, iaitu dua daripada beberapa
dasar penting dalam proses pembinaan negara, iaitu proses yang diperlukan oleh
negara yang baru mencapai kemerdekaan untuk membentuk acuan dan sifat
kenegaraannya. Kedua-dua dasar kenegaraan itu, bersama-sama dengan satu dasar
lain, iaitu Dasar Kebudayaan Kebangsaan mewakili aspek dalaman atau aspek
kerohanian rakyat Malaysia, iaitu aspek yang menayangkan pandangan sarwa,
sistem nilai, pemikiran dan adab bangsa. Dasar-dasar itu, bersama-sama dengan
dasar lain dalam bidang yang mewakili aspek jasmaniah atau fizikal, iaitu Dasar
Ekonomi Baru (kemudian Dasar Pembangunan Nasional) menjadi tonggak proses
pembinaan negara yang telah disebut sebelum ini.
Dasar Bahasa Kebangsaan
di Malaysia dilaksanakan dengan berasaskan undang-undang negara, iaitu
Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152) dan Akta Bahasa Kebangsaan, sementara
Akta Pendidikan (mulanya Akta Pelajaran 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996)
berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama
sistem pendidikan negara. Badan yang diberi amanah secara khusus merancang
bahasa Melayu ialah Dewan Bahasa dan Pustaka, dengan berdasarkan Akta Dewan
Bahasa dan Pustaka (mulanya Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 dan kemudian Akta
Dewan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, Pindaan dan Peluasan 1995).
Setelah mantap penetapan
taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu,
maka ditumpukan pula pada aspek
perancangan sistem atau korpus bahasa. Dalam perancangan korpus bahasa Melayu,
usaha dilaksanakan dalam dua strategi pula, iaitu pembinaan dan pengembangan
bahasa.
5.2 Perancangan Korpus Bahasa atau pembinaan bahasa Melayu
Pembinaan bahasa merujuk
kepada usaha melengkapkan bahasa daripada sudut korpus bahasanya iaitu kata
umum, istilah,tatabahasa, ejaan, sebutan dan laras bahasa agar dapat bahasa itu
memainkan peranan sebagai wahana komunikasi yang cekap dan berkesan dalam
konteks pembangunan bangsa dan negara. Pembinaan bahasa Melayu telah pun
bermula sejak tahun 1956 lagi dan melibatkan dua institusi iaitu Maktab
Perguruan Bahasa Tanjung Malim dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Maktab
Perguruan di pertanggungjawab mengajar bahasa Melayu dan DBP diberi
tanggungjawab mencipta istilah, menggubal sistem ejaan standard (1972) dan
menyusun tatabahasa standard. Namun dalam tahun 70an fokus utama pembinaan
bahasa ialah melibatkan aspek ejaan, tatabahasa (nahu), peristilahan dan kosa
kata.
5.2.1 Ejaan
Ejaan terdiri daripada
penyusunan huruf-huruf untuk menghasilkan perkataan yang mempunyai maksud
tertentu kemudian disebut serta difahami. Pelbagai usaha dilakukan untuk
mengatasi masalah ketidakselarasan beberapa sistem ejaan Rumi yang digunakan
oleh pengguna bahasa Melayu. Terdapat tujuh jenis sistem ejaan yang pernah
wujud di Malaysia. Daftar ejaan Za'ba telah pun dikeluarkan pada tahun 1937
manakala daftar ejaan baru Bahasa Melayu dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka pada 1980. Ejaan dalam Bahasa Melayu terdiri daripada dua aspek iaitu
aspek sistem ejaan rumi lama dan ejaan rumi baru. Pada tahun 1972 sistem ejaan
rumi baru Bahasa Melayu telah dipersetujui bersama Malaysia dan Indonesia untuk
mencapai tujuan standardisasi atau pembakuan bahasa antara Malaysia dan
Indonesia. Namun masih terdapat tiada kesepakatan dalam beberapa keadaan
tentang ejaan seperti berikut:
Malaysia Indonesia
Mahu - mau ,ubat - obat,
muzium- museum, kerana - karena
Walaubagaimanapun, dengan
adanya sistem ejaan Rumi yang dikemaskinikan itu, segala dokumen pentadbiran,
bahan pengajaran dan pembelajaran serta bahan untuk segala bentuk komunikasi bertulis
diasaskan pada satu sistem ejaan yang relatif dan seragam sebagai pedoman
kepada masyarakat. Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan sejumlah buku dan
risalah, antaranya Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu (1975), Daftar Ejaan Rumi
Bahasa Malaysia (1981), dan daftar kata Bahasa Melayu :Rumi-Sebutan-Jawi
(2001). Selain itu, Dewan Bahsa dan Pustaka juga telah menerbitkan perisian
komputer Dewan Eja yang merupakan penyemak ejaan Rumi bahasa Melayu. Walaupun
standardisasi ejaan sukar dicapai tetapi sistem ejaan peringkat nasional wajar
dijayakan agar masalah tidak timbul diperingkat supranasional.
5.2.2 Tatabahasa
Menurut Siti Hajar Hj.
Abdul Aziz (1996) tatabahasa ialah peraturan-peraturan bagaimana sesuatu
perkataan dibentuk dan bagaimana perkataan itu bergabung dengan
perkataan-perkataan lain untuk menghasil ayat-ayat yang gramatis. Dengan kata
lain, tatabahasa ialah rentetan ucapan, pengelompokan serta pengklasifikasian
unsur-unsur ucapan menurut fungsinya. Mengikut konsep tradisional pula
tatabahasa ialah satu cara mengkaji bahasa berdasarkan hukum-hukum yang telah
dibuat terhadap bahasa itu berdasarkan makna. Plato (429-347) menerangkan kata nama
sebagai noun dan perbuatan adalah verb. Ayat sebagai ucapan juga
mempunyai fikiran yang lengkap. Empat jenis ayat iaitu ayat penyata, ayat
tanya, ayat seruan dan ayat perintah yang berdasarkan logika.
Keperluan, pertumbuhan
dan perkembangan tatabahasa di dalam pengajian pendidikan dan masyarakat umum
telah mula sejak zaman berzaman lagi sehinggalah sekarang. Antara tokoh-tokoh
penulis tatabahasa bahasa Melayu yang memberi sumbangan besar kepada
perkembangan dan pembinaan tatabahasa bahasa Melayu ialah Shellabear (1899)
menulis "A practical Malay Grammar", Adam & Butler (1948) menulis
"Grammar of the Malay Language", Tandeloo (1901) menulis
"Malaisch Grammatica" dan R.O.Winstedt (1913) menulis buku tatabahasa
"Malay Grammar".
"Pelita Bahasa
Melayu" karangan Za'ba (1953) adalah buku tatabahasa paling luas digunakan
bagi memajukan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Sebelum ini beliau juga
menghasilkan Kitab Ilmu Bahasa Melayu (1926) dan Kitab Pelita Mengarang (1926)
dan Ilmu Mengarang Melayu (1950). Di Universiti Malaya, buku karangan Lufti
Abas (1971) "Linguistik Deskriptif dan Nahu Bahasa Melayu" telah
menjadi rujukan para mahasiswanya. Buku ini telah membincangkan tentang
linguistik dan bahasa, nahu, fonetik, fonologi, sintaksis dan nahu
tranformasi-generatif bahasa Melayu. Hasil tulisan Abdullah Hassan (1980) dalam
buku "Linguistik Am Untuk Guru Bahasa Malaysia" telah juga
menerangkan tentang konsep tatabahasa dan menghuraikan dengan jelas
kompenan-kompenan nahu tranformasi. Begitu juga dengan buku tulisan Lim Kiat
Boey (1975) bertajuk "An Introduction to Linguistics for the Language
Teacher" yang menerangkan konsep-konsep dan peraturan-peraturan tatabahasa
tranformasi-generatif.
Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai
salah satu badan perancang bahasa di negara ini telah berusaha mengemaskinikan
tatabahasa Melayu dengan menerbitkan Tatabahasa Dewan Jilid 1 (1986) dan
Tatabahasa Dewan Jilid 11 (1989) dan Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1993). DBP
juga turut menerbitka pelbagai buku dan risalah tentang Tatabahasa sebagai
kegunaan rujukan pelbagai pihak. Misalnya buku Nahu Melayu Mutakhir oleh Prof.
Asmah Hj Omar, CD-rom Tatabahasa Melayu dan banyak lagi.
5.2.3 Kosa kata
Dewan
Bahasa dan Pustaka telah berusaha untuk merakamkan kekayaan kosa kata atau
perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu sejak tahun 1960an.sebelum itu,
kekayaan kosa kata bahasa Melayu telah dirakamkan oleh para sarjana asing dalam
bentuk daftar dan kamus seperti Daftar Kata Melayu – Cina (abad ke 15), Kamus
Melayu-Itali oleh Antonio Pigafetta pada usku abad ke-16, Kamus Melayu-Inggeris
oleh Thomas Bowry dan lain-lain lagi. Usha pertama Dewan Bahsa dan Pustaka
ialah dengan menerbitkan Kamus Dewan (1970) yang mengandungi 30,000 perkataan merupakan
kamus ekabahasa Melayu yang terunggul sebagai rujukan. Kemudian DBP turut
menerbitkan kamus seperti Kamus Bahasa Malaysia Edisi Pelajar (975) untuk
pelajar sekolah menengah, Kamus Rendah Dewan Bergambar (1989) untuk murid
sekolah rendah.Bagi memastikan pengembangan bahasa Melayu yang lebih berkesan
Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama swasta telah menerbitkan kamus
elektronik iaitu Kamus Telapak BESTA DBP1 (1989) dan Kamus Pena Quicktionary
(200).
5.2.4 Istilah
Istilah bermakna kata
atau gabungan kata yang menerangkan satu makna, konsep, proses, keadaan atau
sifat yang khas dalam bidang tertentu (PUPIBM, 1981: 1)Dalam usaha pembinaan
bahasa yang berterusan, DBP diberi peranan sebagai urusetia dan tempat merujuk
sementara IPT berperanan menyediakan kepakaran dan mencipta istilah.
Strategi-strategi ke arah mencapai matlamat ini, berbagai program, polisi/dasar
dan jawatankuasa-jawatankuasa dibentuk untuk menyelaras peristilahan. Contoh
Jawatankuasa Istilah DBP(1957), Pedoman Umum Pembentukan Istilah (1975),
Pelaksanaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar di IPT (1975),
Jawatankuasa Penyelaras ialah Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia, Panitia
Perkembangan dan Pembinaan Bahasa Indonesia dan Majlis Bahasa
Malaysia-Indonesia (di Malaysia) dan Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (di
Indonesia). Menurut (Abdullah Hassan 1987) dalam "Isu-isu Perancangan Bahasa:
Pengintelektualan Bahasa Malaysia", DBP telah mencipta istilah 487249 buah
meliputi 36 bidang (1957). Antaranya ialah istilah linguistik (cetakan ke-2,
1975), istilah Seni Muzik (1974), istilah pentadbiran (1962), istilah
undang-undang (1970), istilah kesusasteraan (1972), istilah ekonomi (1967),
istilah sains am, jabatan pertanian, fizik dan perhutanan (Ainuddin
Wahid:1958), contoh: boiler= dandang; chemical bond = ikatan kimia.
Di samping perkembangan
peristilahan giat dilaksanakan terdapat juga beberapa masalah seperti kurangnya
kepakaran, pertindihan istilah yang dicipta atau satu istilah dikongsi oleh
lebih satu bidang dan penerimaan serta mendukung konsep istilah masih terdapat
perbalahan antara bijak pandai memilih sendiri istilah yang diperlukannya.
6. PERANAN
TOKOH DAN AGENSI DALAM PERANCANGAN BAHASA DI MALAYSIA
Proses
perancangan bahasa di Malaysia telah bermula sejak zaman sebelum merdeka dan
berkembang pesat selepas merdeka. Sebelum merdeka, perancangan bahasa menjadi
sebahagian penting daripada pejuangan kebangsaan orang-orang Melayu. Pada waktu
itu pihak kerajaan Inggeris tidak membuat sebarang dasar untuk menjadikan
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini. Oleh yang
demikian, usaha perancangan bahasa datang daripada keinsafan individu-individu
tertentu. Mereka mengarang buku, menubuhkan pelbagai persatuan dan mengadakan
pelbagai aktiviti untuk menegakkan kedaulatan bahasa Melayu. Antara tokoh-tokoh
tersebut ialah seperti Abdullah bin Abdul Kadir Munshi,Raja Ali Haji,Mohd. Said bin Haji Sulaiman,
Pendeta Za’ba dan lain-lain lagi. Begitu juga terdapat pelbagai pertubuhan dan
agensi yang menyumbang dan memainkan peranan dalam perancangan bahasa di negara
ini.
6.1 Abdullah Bin Abdul Kadir Munshi
Abdullah
bin Abdul Kadir Munshi ialah orang Melayu yang pertama dan yang paling lantang
menyatakan pemerhatiannya tentang sikap serta pandangan orang Melayu terhadap bahasa Melayu.
Beliau telah menghasilkan karya pertamanya pada tahun 1830 M bertajuk Syair
Singapura Terbakar yang bukan sahaja memperlihatkan perkembangan bahasa Melayu
tersebut melalui karya kesusasteraan malahan juga beliau menyedari betapa
pentingnya buku nahu bahasa Melayu.Bahasa yang digunakan dalam karyanya juga
memperlihatkan perkembangan bahasa itu sendiri dengan menciptakan
perkataan-perkataan atau benda-benda baru dalam bahasa Melayu untuk
mempercakapkan hal-hal atau benda-benda baru yang timbul kerana pertemuan
anatara kebudayaan Timur dan Barat. Perkembangan bahasa Munshi Abdullah tidak
menghairankan kerana beliau mendapat pendidikan Inggeris berbanding sasterawan
terdahulu yang mendapat pendidikan Arab. Karya-karyanya ialah seperti Syair
Singapura Terbakar (1830), Hikayat Kalilah Wa Daminah (terjemahan Tamil, 1835),
Kitab Adat Segala Raja-raja Melayu dalam Segala negeri (1837), Dawail-kulub
(1838), Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan (1838), Hikayat Abdullah (1843),
Kisah Pelayaran Abdullah ke Jeddah (1854).
6.2 Za’ba
Tan Sri
Pendeta Za’ba (1895 – 1973), atau nama sebenarnya Zainal Abidin bin Ahmad merupakan
seorang tokoh bahasa dan pemikir Melayu yang dilahirkan di Kampung Bukit
Kerdas, Jempol, Batu Kikir, Negeri Sembilan. Beliau terlibat secara aktif dalam
penulisan dan juga kegiatan sosial dan politik tanahair. Beliau juga merupakan
seorang penulis rencana dan esei yang istimewa dan gigih menulis dalam bahasa
Melayu mahupun bahasa Inggeris. Karya beliau yang paling penting ialah Pelita
Bahasa Melayu yang merupakan buku nahu dan latihan penggunaan bahasa telah
diterbitkan dalam tiga penggal. Penggal 1 1940, Penggal 2 1946 dan Penggal 3
1949. Pelita Bahasa Melayu 1 dalam tulisan Jawi membicarakan tentang nahu dan
sangat berpengaruh sebagai nahu pengajaran ulung bahasa Melayu. Pelita Bahasa
Melayu 2 pula adalah lanjutan daripada Pelita Bahasa Melayu 1 iaitu dikhususkan
bahagian karang-mengarang dan latihan lanjut tentang nahu.Pelita Bahasa Melayu
3 iaitu buku yang terakhir adalah buku untuk memperlengkapkan bahagian
karang-mengarang. Sumbangannya dalam ketiga-tiga buah buku ini kepada
perkembangan bahasa Melayu amat besar. Begitu juga dengan karya-karyanya yang
lain seperti Ilmu Bahasa Melayu (1926), Rahsia Ejaan Jawi (1929), Pelita
Menagarang, Ilmu Mengarang Melayu (1934), Daftar Ejaan Melayu:Jawi-Rumi (1938)
memberi sumbangan yang amat besar dalam perkembangan bahasa Melayu.
6.3 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Penubuhan
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bermula
sewaktu negara membuat persiapan untuk
menyambut kemerdekaan. Sebuah jabatan telah ditubuhkan di Kementerian Pelajaran
(kini Kementerian Pendidikan) dengan nama Balai Pustaka (pejabat di Johor
Bahru).Dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 (1956), nama Balai
Pustaka ditukar kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1957, DBP berpindah
ke Kuala Lumpur.
Pada tahun1959, DPB berubah tarafnya
daripada jabatan kerajaan kepada badan berkanun apabila diluluskan Akta Dewan
Bahasa. Akta penubuhan DPB menyatakan
matlamat badan tersebut ialah:
1. Memajukan dan memperkayakan bahasa kebangsaan.
2. Memajukan bakat kesusasteraan,terutama bahasa
kebangsaan.
3. Mencetak atau menerbitkan atau membantu usaha
percetakan atau penerbitan buku-buku, risalah-risalah dan bentuk persuratan
lain-lain dalam bahasa kebangsaan dan bahasa lain.
4. Menyamakan ejaan bunyi sebutan dan mengubal istilah-istilah yang
sesuai dalam bahasa kebangsaan.
5. Menyusun dan menerbit dan sebuah kamus bahasa
kebangsaan.
Antara usaha DBP ialah mengadakan Kempen Bahasa Kebangsaan yang dijalankan
secara besar-besaran di seluruh negara melalui poster-poster, aktiviti sekolah
dengan mengadakan peraduan perbahasan ,syaharan ,karangan dan lain-lain.
Pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga diadakan secara
besar-besaran. Dewan Bahasa dan Pustaka juga mengadakan peraduan mengarang
novel, dan hadiah yang lumayan diberi. Usaha ini diteruskan oleh GAPENA yang
bergabung dengan ESSO memberi hadiah-hadiah istimewa kepada penulis-penulis
novel, cerpen dan sajak yang berjaya. Hadiah Sasterawan Negara menyusul
usaha-usaha ini.Ini memberi penghargaan
yang paling tinggi kepada sasterawan dan sebagai salah satu usaha dalam
perancangan bahasa untuk meningkatkan taraf bahasa Melayu.
6.4 MBIM dan MABBIM
Majlis
Bahasa Melayu-Indonesia ditubuhkan pada
bulan Disember 1972. Angkatan Sasterawan 50 telah menyarankan supaya kedua-dua bahasa Melayu dan
Indonesia dapat disatukan. Ada dua tugas yang dikendalikan oleh MBIM. Dalam
tiga tahun pertama, ia berusaha
menghasilkan satu sistem ejaan baru bersama.Tugas ini terhasil dengan terbitnya pedoman ejaan baru bagi
kedua-dua bahasa. Sistem ejaan ini memperlengkap sistem ejaan yang
diisytiharkan pada tahun 1972 dan mengadakan pedoman yang lebih
sempurna.pemakaian sistem ejaan bersama ini memudahkan perhubungan antara kedua
abhasa. Pekara kedua yang dijalankan oleh MBIM ialah untuk menyelaraskan
istilah ilmu yang dipakai di kedua-dua negara. Pada tahun1975, Pedoman Umum
Pembentukan Istilah telah diterbitkan.di samping itu, majlis ini juga terlibat
dalam pembentukan dan penyelarasan istilah di antara kedua-dua negara.
Sejak 1979 MBIM disertai oleh Brunei
Darussalam menjadi rasmi sejak 1984.tugas MBIM diperluas supaya mencakup bidang
kebahasaan umumnya. Kemudian sejak 1985 Singapura mula menyertai MBIM dengan
menghantar wakil ke majlis tersebut sebagai pemerhati.ini menjadikan MBIM sebagai
daya penggerak yang lebih kuat untuk memperkembangkan bahasa Melayu di rantau
ini. Dengan itu MBIM bertukar nama menjadi MABBIM (Majlis Bahasa Brunei
Darulsalam Indonesia – Malaysia).
7. PENGEMBANGAN BAHASA MELAYU
Pengembangan bahasa Melayu
yang amat pesat telah berlaku dalam suku abad yang lalu semenjak bahasa Melayu
dijadikan bahasa kebangsaan di negara
ini. Pengembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa
ilmu dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui program pengembangan
disektor awam, sektor swasta dan sektor antarabangsa. Pengembangan bahasa
Melayu di sektor awam meliputi usaha mengadakan kursus,ceramah, forum dan
seminar bahasa kebangsaan, pembentukan pegawai bahasa di setiap kementerian,
jabatan dan agensi kerajaan, program Munsyi Dewan dan lain-lain lagi.
Pengiktirafan juga diberikan kepada tokoh penggiat bahasa.
Pengembangan bahsa Melayu
pada peringkat sektor swasta turut diadakan seperti Gerakan Bahasa Kebangsaan
Sektor Swasta pada tahun 1996.Empat bidang utama diberi tumpuan iaitu
Perdagangan Dalam Negeri, Industri Khusus, Industri Perkhidmatan Kewangan dan
Media Massa. Bidang-bidang tersebut terdapat pula subbidang untuk mengembangkan
bahasa kebangsaan dalam sektor swasta. Antara program yang dijalankan ialah
penggunaan bahasa kebangsaan, pemantauan penggunaan bahasa kebangsaan, khidmat
nasihat bahasa, anugerah dan penghargaan, peraduan, khidmat pengeditan dan
penterjemahan dokumen perniaagaan dan kursus bahasa.
Seterusnya, pengembangan
pada peringkat sektor antarabangsa bermula dengan kerjasama antara Malaysia
dengan Indonesia dengan termenterai Pernyataan Bersama Pemerintah Indonesia dan
kerajaan Malaysia pada 23 Mei 1972. Ini telah menjadi asas terbentuknya Majlis
Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) bagi melaksanakan penyelarasan sistem ejaan
Rumi dan peristilahan antara kedua-dua negara. Kemudian, diikuti dengan
penyertaan Brunei Darulsalam pada tahun 1985 dan bertukar nama kepada Majlis
Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM). MABBIM telah merancang
peluasan skop kerjanya daripada kerjasama ejaan dan peistilahan kepada
penelitian dan penyusunan serta penerbitan karya ilmiah.
8.KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya,
perancangan bahasa dan pembinaan bahasa Melayu harus ditangani secara sistematik
agar halatuju untuk meningkatkan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa dunia dapat
direalisasikan. Tegasnya, perancangan bahasa mestilah berlandaskan kepada
langkah-langkah dan strategi yang dapat dilaksanakan dengan teratur dan
terpeinci. Sesungguhnya, sesuatu alat boleh dirancangkan untuk diperbaiki, dan
sesuatu alat itu boleh diperbaiki dari segi ejaannya, tatabahasanya, istilahnya
dan penggunaan bahasa itu secara umum untuk menjadi lebih efisien.
HASIL KARYA ; CIKGU RUHANA WAHAB
GURU BAHASA MELAYU TAHUN 6
TERIMA KASIH ATAS MAKLUMAT YANG DIBERI. BOLEH GUNA UNTUK ASSIGMENT AKU.
BalasPadamDARIPADA ; CIKGU MISTIK